Khasiat Ulam Raja(king salad)

Pemakanan ulam-ulaman segar telah lama menjadi tradisi warisan Melayu semenjak zaman berzaman. Bermula dari desa, khasiat memakan ulam cepat tersebar kerana dikatakan pengamalnya mampu hidup sihat sepanjang hayat.
Khazanah Ulam Raja(king salad) antaranya, dipercayai baik untuk melancarkan peredaran darah, detoksifikasi, menguatkan
tulang dan menyingkirkan toksik dalam tubuh.
Pokok Ulam Raja atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus, sebenarnya tergolong dalam jenis kosmos iaitu ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang berwarna-warni.
Nama lain ulam raja pula dikenali sebagai pokok ‘Intan Berayun’ atau ‘Kenikir’ dan boleh tumbuh hingga mencapai 2 meter tingginya. Ulam Raja amat senang ditanam di halaman rumah atau di dalam pasu bunga kerana ia mudah membiak dan membesar dengan cepat.
Kajian saintifik menunjukkan Ulam Raja mengandungi:
3% protein
4% lemak
Karbohidrat
Kalsium
Vitamin A
Rasa Ulam Raja segar yang luar biasa, sering kali menjadikan spesies herba ini sebagai pilihan utama untuk dimakan bersama nasi atau dicecah dengan budu, sambal belacan, tempoyak atau cencaluk.
Lazimnya, ia dihidangkan sebagai pembuka mahupun penambah selera. Masyarakat Melayu sejak dulu telah pun mengetahui khasiat dan memanfaatkan Ulam Raja ini sebagai makanan harian atau ubat-ubatan.
Khasiat Ulam Raja
Ulam Raja telah digunakan secara tradisi untuk membantu melancarkan peredaran darah, mencuci darah dan menguatkan tulang. Ia mengandungi keupayaan antioksida yang tinggi iaitu setiap 100gm Ulam Raja menyamai keupayaan antioksida 2,400mg L-asid askorbik. Sehingga kini, lebih daripada 20 jenis bahan antioksida telah ditemukan dalam Ulam Raja.
Selain itu, Ulam Raja juga boleh membantu untuk menambahkan kandungan oksigen dalam darah. Penambahan oksigen seperti ini dapat melancarkan peredaran darah, memberi keseimbangan dan kesegaran kepada seluruh tubuh. Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat kampung pada zaman dahulu mempunyai tahap kecergasan yang tinggi serta jarang dijangkiti penyakit kronik.
Kajian turut mendapati bahan kimia kloroform yang di ekstrak daripada daun Ulam Raja mengandungi costunolide, stigmasterol, lutein dan bipyridine untuk merencatkan aktiviti sesetengah bakteria atau fungus seperti Candida albicans, Bacillus subtilis dan E. coli. Justeru bagi memastikan tubuh anda mendapat manfaat ini, nikmatilah Ulam Raja secara mentah dan elakkan dicelur terlalu lama atau dimasak.
Bagi anda yang berhasrat untuk mengekalkan keremajaan secara semula jadi, amalan memakan Ulam Raja turut memberi efek awet muda. Berkat khasiatnya yang mampu menambahkan kandungan oksigen dalam darah, maka keanjalan kulit anda dapat dipertingkatkan. Selain itu, amalan memakan sayur-sayuran hijau juga dapat melicinkan kulit serta memancarkan keserian dari dalam.
Kandungan vitamin A dan antioksidan di dalam Ulam Raja juga boleh meningkatkan daya penglihatan dan membantu mengurangkan kesan penuaan. Selain itu, masalah kulit seperti psoriasis atau ekzema juga dapat dirawat secara alternatif melalui pengambilan Ulam Raja. Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat pakar atau konsultasi profesional terlebih dahulu sebelum pengambilannya kerana ia tidak sesuai diambil dengan terlalu banyak.

No comments:

Post a Comment